SELOKA BERSATU

Jerihnya sufi dan para pahlawan,
Golongan mahir dan para cendekiawan,
Membina kukuh kesatuan ini…
Sehingga kekal ke hari ini…

Sekian lama mereka pergi,
Lihatlah apa terjadi kini…
Kita ini bagaikan mati!
Bangkitlah semula hidupkan diri!

Lihatlah terbentang di hadapan kita,

Begitu besar luasnya dunia,
Menanti untuk kita manfaati,
Dengan akal bijak bestari
Dipandu nur yang suci dan murni,

Dugaan, cabaran, nikmat dan rezeki,
Adalah makanan hidup ini,
Samudera dalam kita selami,
Kalau jatuh, bangunlah lagi
Kejarlah semula kabilah ini,
Merdekakan lagi jiwa dan jasmani,
Yang sekian lama makin dijajahi!

BANGUN! BERAMAL! BEKERJA!
Kerana kita manusia biasa
Kerana kita mengaku hambaNya
Tanda tunduk akan perintahNya
Taatilah Allah, Rasul dan Ketua
Taatilah Guru, Ayah dan Bonda
Kepada Allah bertaqwa kita,
Agar dapat mengurus membeza,
Akal dan nafsu yang kurang sempurna,
Semoga mendapat darjat yang mulia.

Ketua adalah pembawa panduan,
Kitalah sebenar yang melaksanakan,
Janganlah jadi hanya penantian,
Takut nanti tinggal impian!

Jutaan syarahan telah disampaikan,
Ribuan amalan telah dilakukan,
Marilah pula berbuat tindakan,
Agar pulangan dapat dihasilkan,
Tidak terhad pada perkataan.

Untuk diri, keluarga dan ahli,
masyarakat, daerah serta negeri,
negara, dunia, sejagat dan akhirat
Alangkah besarnya bakti dan berkat

Sesama membina istana kebajikan,
Sesama meruntuh kota kejahatan!

Andai akal belum sempurna,
Andai ilmu kurang di dada,
Carilah makna segala kefahaman,
Tidaklah pula sehingga terbeban,
Amalkan ilmu sekadar kemampuan,
Allah jua kita serahkan,

Tanpa halangan tanpa galangan.
Untuk arifin yang lama bersemadi,
Keluarlah dari persembunyianmu ini!
Mari bersama memimpin kami,
dengan pengalaman yang telah dipelajari.

Jika terilham kaedah dan cara,
Zahirkan ia menerusi suara,
Iman tak kenal tua dan muda,
Besar dan kecil tiada dikira,
Selagi ada kebajikan niatnya,
Mari SATUKAN bersama-sama,
supaya lebih berlipat ganda.

Bagi yang masih besar diri,
Tepuk dada tanyalah hati,

Sehingga bila terus begini?
Berbulan berlalu menjadi tahunan,
Matlamat anda manakah kesudahan?
Keluarlah dari penjara khayalan!

Jangan pandai menafsir sendiri,
Jangan pula membisu sepi,
Jangan mudah berpuas hati,
Akibatnya berat memakan diri,

Janganlah segan janganlah malu,
Salah dan silap tentunya berlaku,
Marilah mengaku kelemahan diri,
Supaya dapat sesama perbaiki.

Andai masih tidak mengerti,
Mengapa terjadi semuanya ini,
Pelajaran asal semaklah kembali,
Melihat semula pada yang asli.

Elakkan juga jumud kumpulan,
Dengarlah juga pendapat luaran,
Mungkin dapat jadikan panduan,
Bukan hanya ikut-ikutan…

Jauhi kita segala pergeseran,
kerana ini pemecah perpaduan.

Cuba elakkan kepentingan peribadi,
Belajar mendekati kepentingan ahli,
IKHLASkanlah segala pengorbanan ini,
Agar berterusan tanpa berhenti.

Sejahtera diri, keluarga, dan ahli
masyarakat, daerah serta negeri,
negara, dunia, sejagat dan akhirat

Ucapkan semula Kalimah Syahadah,
Agungkan kembali Qur’an dan Sunnah,
Jadikan petua Ijmak dan Qiyas,
Jadilah Ahli Sunnah wal Jamaah,

Tetapkan Iman, Islam dan Ihsan,
Tauhid, Feqah, Usul dan Kesufian.

Biasakan diri dengan latihan,
Jangan sampai tiada pekerjaan,
Tingkatkan terus ilmu pengetahuan,
Ibadat amalan dilupa jangan,

Jangan mudah menyerah kalah,
Usahakan hingga dapat istiqamah,
Cari Mawaddah waRahmah wasSakiinah,
Kita pasti akan berjaya,
Khalifah juga jadinya kita.

Hamba berkata mengingati diri,
tiadalah hamba membangga diri,
Hamba terasa masih rapuh,
kalian mungkin lebih ampuh,
jangan ampuh bertukar angkuh!
rapuh pula perlu perkukuh!

Hamba sedar seloka ini,
Pasti ramai juga bantahi,
di mana akhirnya kita ini,
bila ADA dirempuh-rempuhi,
bila TIADA dipohon-pohoni.

Tentunya ada yang pandai berkata,
Bilangan ramai di majlis kita,
Semakin bertambah setiap masa,
Bukankah ini penyatuan nyata?

Kenapa memandang mudah sekali?
Bilangan ramai semuakah memahami?
Jika benar kenapa terjadi?
Bertambah ramai, bertambah yang lari!

Bacalah semula seloka ini,
walau pahit berkali ulangi,
semoga menjadi penawar hati,
semoga semuanya bangkit kembali.

Namun kita tidak berjanji,
Masa depan yang belum pasti,
Jika dituruti seloka ini,
Semua masalah dapatkah diatasi?

Tetapi sejarah bagaikan tahu,
walaupun semangat tidaklah padu,
Jika jemaah BENAR BERSATU!
kekuatan pasti berada di bahu!

Yang rahsia kan jadi nyata,
Yang lemah akan berbisa,
Usahalah terus sabar menanti,
Kemenangan akan menjengah nanti!

Mari bersama kita lalui,
Merasai keagungan kembara ini,
walaupun masih JAUH destinasi,
berjalanlah kita TANPA henti…

SALINAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

8 Nov 2011